fbpx

Tak kira kayangan atau marhaen, patuhi SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

AHAD lalu, seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, Jalan Panji, Kota Bahru dikompaun RM50,000 selepas didapati melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peniaga itu dan isterinya didatangi sekumpulan anggota polis pukul 11.21 malam ketika mereka menyiapkan 15 biji burger yang ditempah pelanggan.

Pasangan itu kecewa dan sedih dengan tindakan terlalu tegas pihak berkuasa terhadap rakyat yang sedang bergelut mencari rezeki.

Kisah mereka yang dikenakan tindakan kompaun tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen termasuk yang mengecam tindakan itu sebagai kejam dan tidak adil.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kompaun dikeluarkan terhadap peniaga burger selepas dia didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang dikuat kuasa di Kelantan.

Kelantan dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April ini ekoran peningkatan kes Covid-19.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, peniaga itu sering berniaga melebihi masa dibenarkan iaitu pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

Tindakan itu diambil selepas polis menerima aduan awam.

Tegasnya, polis bukan mengeluarkan kompaun sesuka hati tanpa budi bicara, sebaliknya tindakan tegas demikian diambil apabila memang terdapat perbuatan yang melanggar SOP.

“Bagaimanapun, peniaga tersebut boleh mengemukakan rayuan pengurangan kompaun kepada Jabatan Kesihatan Kelantan dan nilainya tidak akan mencecah sampai RM50,000,” katanya.

Dalam isu ini, siapa yang harus dipersalahkan? Adakah peniaga itu sendiri atau pihak berkuasa yang dikatakan terlalu tegas bila berdepan dengan rakyat biasa?

Pertama, jelas sekali pihak polis sudah mengambil tindakan budi bicara serta nasihat kepada peniaga terbabit dan tindakan kompaun secara maksimum itu adalah mesej tegas yang ingin di­sampaikan kepada masyarakat.

Yang menjadi persoalannya, kenapa peniaga itu tetap berdegil melanggar SOP sedangkan pihak kerajaan sudah memberi kelonggaran untuk membuka premis sehingga pukul 10 malam.

Pengurusan masa dalam bisnes adalah amat penting. SOP sudah ditetapkan sehingga pukul 10 malam, ikut dan akur dengan saranan itu, uruslah agar tempahan dapat dibuat.

Kedua, pihak berkuasa hanya menjalankan tugas mereka untuk melandaikan lengkungan kes positif untuk ‘berjuang’ mengekang penularan virus Covid-19, jika tidak tegas, mereka (rakyat) tuduh polis tidak buat kerja pula.

Serba salah dibuatnya. Jadi, ikutlah sistem SOP yang ditetapkan tidak kiralah siapa kita, rak­yat marhaen ke atau orang ‘ka­yangan’ ke, pokoknya patuhlah SOP yang ditetapkan.

Jika lawan sistem yang telah direncanakan, maka pelbagai masalah akan timbul.

Kenapa negara jiran terdekat kita, Singapura dapat mengawal kes Covid-19 di negara mereka yang dahulunya lebih teruk daripada negara kita.

Kuncinya, undang-undang tegas tidak kira siapa pun mereka.

Sungguh berbeza situasi negara kita, bila orang kenamaan atau golongan atasan, artis popular dan sebagainya, layanan agak istimewa, lambat pula tindakan hendak dikenakan.

Apabila melibatkan rakyat biasa, terus kena. Jangan salahkan rakyat jika masih ramai yang langgar SOP. Pemimpin pula jangan pula ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI