fbpx

Yayasan KRU lancar program ‘Kita Jaga Kita’ 1 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norman Abdul Halim

PETALING JAYA – Yayasan KRU akan melancarkan program ‘Kita Jaga Kita’ pada 1 Jun depan bagi membantu golongan belia mencipta peluang ekonomi melalui platform-platform digital berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif.

Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, program itu berbentuk tajaan latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat kepada golongan belia.

Menurutnya, ia bertujuan memperkasakan ilmu serta ekonomi golongan tersebut terutama daripada keluarga B40.

“Dengan menggunakan barangan teknologi maklumat, mereka diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek di bawah tajaan Yayasan KRU secara dalam talian bagi bidang-bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital.

“Para pelatih akan dibimbing untuk menjadi ‘influencer’, memulakan perniagaan atau memajukan perniagaan masing-masing melalui kerjasama strategik dengan platform-platform digital dan e-dagang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norman memberitahu, Yayasan KRU telah menjalinkan banyak kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, menaja pelatih melalui program biasiswa dan menjalankan program-program kesedaran awam lain seperti ‘Contentpreneur’ dan ‘Kreatif X-Press’.

“Kami percaya program ‘Kita Jaga Kita’ juga akan memberi impak yang tersendiri khususnya mengubah nasib golongan belia B40 bagi membantu keluarga masing-masing.

“Program ini sudah mula mendapat sokongan sektor swasta, ikon-ikon media serta sukarelawan bagi menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia,” ujarnya.

Sebagai persediaan pra pelancaran, Yayasan KRU menjemput orang ramai untuk menjadi sukarelawan dengan mendaftarkan diri melalui laman sesawang www.yayasankru.org.

Sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat naik dan berkongsi mengenai program ‘Kita Jaga Kita’ di media sosial sekali gus membantu meningkatkan lagi kesedaran pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke [email protected]. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI