JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia tiga tahun ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza akibat strok haba di Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku setelah mangsa ditinggalkan di dalam kereta tanpa disedari oleh nenek mangsa dalam keadaan enjin kereta dimatikan.
Katanya, hasil siasatan pada hari kejadian mendapati nenek mangsa berusia 59 tahun telah membawa mangsa bersama kakaknya ke sekolah di sekitar Sungai Tiram kira-kira pukul 1 petang.
“Mangsa kemudiannya ditinggalkan oleh neneknya di dalam kereta tanpa sedar di dalam kereta berkenaan ketika sampai ke rumah.
“Kira-kira pukul 6 petang, ibu mangsa menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan telah mencari di sekitar kawasan rumah namun tidak menjumpainya.
“Kemudian nenek mangsa mula menyedari mangsa berada di dalam kereta dan mendapati mangsa telah tidak sedarkan diri di lantai bawah tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, hasil bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada Isnin lalu mendapati keadaan tubuh badan mangsa adalah sihat dan tiada sebarang kesan lebam atau luka akibat didera.
Katanya, doktor mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan strok haba akibat terperangkap di dalam kenderaan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak cuai dan peka terhadap kanak-kanak dibawah jagaan masing-masing.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya. – K! ONLINE