MEMULAKAN kerjaya seni sejak 2012, nama Aman Nassim cukup sinonim dalam drama dan filem tempatan sebelum mula mengembangkan bakat ke bidang nyanyian.
Pada 2014, pemilik nama sebenar Abdul Rahman Nassim itu melancarkan single Lafaz Setia, seterusnya Cinta Pura-Pura (2016) dan terakhir Tunjukkan Ku Bintang (2017).
Terbaharu, Aman muncul dalam lagu Cinta Terakhir hasil ciptaan bersama komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.
Mencatat perhatian awal, lagu berkenaan turut dipilih menjadi antara lagu tema drama Kisah Cinta Rumi siaran TV3 sejak 24 April lalu.
Membuatkan Aman lebih teruja, Cinta Terakhir juga menyatukan kerjasamanya dengan komposer yang sebelum ini menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan.
“Lagu Cinta Terakhir siap dirakam pada penghujung 2019 dan perancangannya asal mahu dilancarkan di Indonesia tahun lalu. Tetapi, disebabkan penularan Covid-19, rencana itu terperap.
“Dalam masa sama, pihak syarikat masih dalam perbincanganan dengan syarikat rakaman Rans Entertainment milik selebriti Raffi Ahmad untuk mengedarkan lagu ini di sana.
Selain itu, pembikinan video muzik (MV) lagu ini juga membabitkan produksi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Pelakon-pelakon pula dari sana dengan gabungan dua produksi.
“MV ini sepatutnya dibuat sebelum Ramadan, tapi tak berjaya sebab pelakon utama iaitu Dimas Ahmad disahkan positifCovid-19, jadi tergendala. Insya-Allah, selepas dia sembuh barulah penggambaran MV diteruskan semula,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan Bemby Noor, Aman berkata dia mahukan single kali ini ada ciri dan bunyi lagu Indonesia. Malah, Aman merancang lagu Cinta Terakhir itu menjadi langkah awal untuknya memasuki pasaran muzik di sana.
“Kenapa Bemby sebab saya memang nak masuk pasaran muzik Indonesia. Jadi, sebab itu saya nak lagu ini ada sentuhan lagu Indonesia. Sebab peminat di sana lebih memilih lagu mereka.
“Lagu ini juga dirakamkan di sana dan menjadi kolaborasi pertama saya dengan Bemby. Macam dikatakan tadi, saya memang perlukan sentuhan komposer Indonesia, sebab asalnya nak pasarkan lagu ini di sana. Walaupun sekarang masih tergendala tapi lagu ini masih boleh dipasarkan menerusi kerjasama syarikat rakaman. Pendek kata, lagu ini adalah langkah awal untuk saya masuk pasaran muzik Indonesia,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Cinta Terakhir mengisahkan cinta terakhir antara pasangan kekasih yang berjanji sehidup semati.
“Lirik lagu ini pun memaparkan percintaan individu dari dua negara yang diinspirasikan daripada pengalaman rakan saya. Pasangan itu berjumpa kali pertama dan terus jatuh cinta.
“Itu pun selepas mereka baharu putus cinta dengan pasanganmasing-masing. Jadi mereka nak ‘move on’ dengan kisahlama dengan buka cinta kisah baharu sehingga tahap nakberkahwin. Kiranya, lagu ini adalah ‘happy ending’.
“Lagu ini bergenre pop balada dan memang bunyi laguIndonesia. Bunyi lagu ini pun macam lagu Afgan. Apabila dapat bekerjasama dengan komposer dari negara luar, saya dapat belajar sesuatu yang baharu. Berdasarkan kajian saya, muzik dangdut masih nombor satu dan kedua pula pop balada,” katanya.
Menurut Aman, dia bertuah apabila lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama sekali gus dapat mempromosikan lagu itusebelum dibawa masuk ke pasaran muzik Indonesia.
“Apabila lagu ini menjadi lagu tema drama, itu langkah awal untuk promosikan lagu ini . Mungkin selepas MV keluar, barulah lagu ini akan dipromosikan ke pasaran secara dalam talian. Harapnya tahun ini saya dapat keluarkan lebih banyak single berkerjasama dengan komposer Indonesia atau negara lain.
“Jika lagu ini berjaya di sana dan saya sudah bersedia untuk ulang-alik,” katanya.
Video lirik lagu Cinta Terakhir sudah menemui peminat menerusi saluranYouTube COF Music sejak 21 April ini dan video muzik rasmi pula bakal dilancarkan di saluran YouTube COF Music Indonesia selepas sambutan Aidilfitri nanti. – K! ONLINE