KUALA PERLIS – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis memberi tumpuan rondaan di kawasan sempadan perairan negara-Thailand termasuk empat lokasi panas penyeludupan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, rondaan sepanjang masa itu bagi mengekang kegiatan penyeludupan daun ketum, dadah, mercun, bunga api dan barang-barang kawalan.
“Selain itu, kita juga mahu membendung pergerakan penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran berikutan musim perayaan yang bakal disambut tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, seramai 47 pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Perlis dibekukan cuti bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.
“Semua pegawai dan anggota dipertanggungjawabkan dalam menjaga sektor operasi Zon Maritim Kuala Perlis yang berkeluasan 378.30 kilometer persegi dengan panjang pantai 19.45 kilometer atau 10.5 batu nautika,” ujarnya. – K! ONLINE