JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meluangkan masa memasak bubur lambuk di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir sejam memasak bubur lambuk bersama kakitangan Istana.
Sebanyak 1,100 paket bubur lambuk istimewa sentuhan air tangan Sultan Ibrahim akan disampaikan kepada rakyat di daerah Kluang hari ini.
Manakala sebanyak 200 paket lagi akan disampaikan kepada pesakit-pesakit kanser di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini.
“Bubur lambuk yang dimasak hari ini akan disampaikan kepada rakyat dan juga pesakit kanser menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Masakan bubur lambuk pada kali ini turut menampilkan sedikit kelainan apabila Baginda menggunakan kayu pengacau ‘khas’ bagi menyediakan juadah berkenaan.
Pengacau berkenaan yang diperbuat daripada kayu giam dan turut dilengkapi hiasan ‘epoxy resin’ khas logo Sultan Ibrahim tahun 2021 dibuat oleh tukang kayu peribadi Baginda di Mersing.-K! ONLINE