KINABATANGAN – Yanong Latuka terpaksa melalui pelbagai cabaran dan halangan untuk membawa keluarganya keluar daripada belenggu kemiskinan.
Usaha dan kerja keras wanita berusia 64 tahun itu bagaimanapun membuahkan hasil apabila perusahaan makanan sejuk beku yang diasaskannya ‘menjadi.’
Kini, Yanong Frozen Food Enterprise yang diasaskan oleh Yanong, berjaya menghasilkan lebih 10 produk.
“Saya tidak kaya, tapi Alhamdulillah, saya berjaya keluar daripada kemiskinan”, luah Yanong ketika ditemui baru-baru ini.
Wanita itu mengakui kejayaan tersebut tidak akan dapat dikecapi tanpa bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bukan sahaja memberi bantuan modal tetapi juga pengetahuan melalui kursus, latihan dan bengkel berkaitan bidang keusahawanan secara percuma.
Mengimbas perjalanan perniagaannya, Yanong berkata, minat dalam perniagaan bermula dengan menjual makanan seperti soto Makassar, soto ayam dan sup tulang di kawasan-kawasan perniagaan di sekitar daerah ini.
Sambutan menggalakkan terhadap jualan makanannya kemudian mencetus idea untuk membuka restoran, tetapi memikirkan beban dan masa, idea itu terpaksa dihentikan.
“Kemudian pada 2009, saya pergi menunaikan haji dan ketika mahu menunaikan solat berjemaah di masjid, saya terdengar perbualan jemaah dari Indonesia yang menginginkan hidangan seperti soto daging atau lebih dikenali sebagai bakso.
“Saya kemudian berfikir, alangkah bagus kalau saya dapat hasilkan sesuatu yang mudah dimasak dan dibawa ke mana-mana,” katanya yang sebelum ini berkebun untuk menyara kehidupan.
Menurut Yanong, penglibatan dan sokongan keluarga kunci utama kepada perkembangan perniagaannya yang bermula pada 2011.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran seperti persaingan dengan produk berjenama besar dan kurangnya sokongan kepada produk tempatan, ia tidak melemahkan semangatnya.
Yanong berkata, bagi mengekalkan mutu dan kualiti produk, dia sentiasa meneliti aduan-aduan pelanggan dan berusaha menambah baik setiap produk yang dihasilkan untuk kepuasan mereka.
Katanya, produk-produk keluaran Yanong Frozen Food Enterprise seperti bebola daging, bebola ayam, sup bebola daging segera dan lain-lain kini dipasarkan di seluruh Sabah.
“Saya berazam untuk memasarkan produk-produk saya ke seluruh Malaysia dan luar negara. Saya akan terus berusaha dengan menghasilkan lebih banyak produk pada masa akan datang.