RIYADH – Tentera Arab Saudi memusnahkan sebuah bot sarat dengan bahan letupan di perairan pelabuhan Yanbu di Laut Merah, kata kementerian pertahanan.
“Sebuah bot tanpa pemandu sarat dengan bom dipintas dan dimusnahkan pagi ini.
“Unit tentera laut berjaya mengesan dan mengawasi bot tersebut di luar pantai Yanbu di Laut Merah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi SPA.
Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab manakala kementerian pertahanan masih menyiasat insiden tersebut.
Insiden itu berlaku ketika pertempuran di negara jiran Arab Saudi, Yemen semakin sengit. Perang yang berlaku adalah antara tentera kerajaan disokong Riyadh dan pemberontak Syiah Houthi.
Yanbu terletak 860 kilometer ke timur Riyadh dan sekitar 975 kilometer ke utara sempadan Arab Saudi dengan Yemen.
Pemberontak Houthi kini meningkatkan serangan untuk merampas rantau Marib yang kaya dengan sumber minyak. Marib merupakan kubu kuat terakhir kerajaan disokong Riyadh di utara Yemen.
Militia Houthi turut meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap sasaran di Arab Saudi termasuk kemudahan minyaknya. Pemberontak tersebut pernah menggunakan bot yang sarat dengan bom untuk menyerang Arab Saudi pada masa lalu. – AFP