SUBANG JAYA – Polis mengesahkan telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang sebelum ini dilaporkan menunjukkan kemaluan dan beronani di hadapan seorang wanita ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, suspek yang juga merupakan lelaki warga Bangladesh berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis bantuan sewaktu berada di Stesen LRT USJ 7, Subang Jaya.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam 25 April lalu, suspek, seorang lelaki warga Bangladesh telah ditahan oleh pasukan polis bantuan.
“Dia kemudiannya diserahkan kepada polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Khalid, pada 4 April lalu, kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa seorang wanita berusia 20 tahun telah menaiki LRT dari Stesen Alam Megah menuju ke Stesen Taman Melawati.
“Sewaktu sedang melalui Stesen USJ 21, telah datang seorang lelaki duduk di kerusi berhadapan mangsa dan wanita berkenaan terlihat suspek memegang kemaluan dan beronani sambil memandang ke arahnya.
“Wanita berkenaan turut membuat rakaman sepanjang perbuatan suspek tersebut,” jelas beliau.
Tambah Abd. Khalid, suspek dibenarkan reman sehingga 8 Mei depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, Kosmo! Online ada 10 April lalu melaporkan tentang tindakan tidak senonoh seorang lelaki yang menunjukkan kemaluan serta beronani di hadapan seorang wanita ketika berada di dalam tren LRT.
Perbuatan lelaki itu menyebabkan wanita yang berada di hadapannya itu berdepan detik cemas, namun mangsa bertindak bijak apabila merakam aksi individu berkenaan. – K! ONLINE.