SHAH ALAM – Lebih 13,000 anggota polis Selangor akan bertugas semasa musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua anggota ini akan menjalankan pemeriksaan termasuk di rumah bagi memastikan penduduk Selangor mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Anggota polis akan bertugas secara bergilir mengikut jadual tugasan yang telah ditetapkan.
“Maknanya kalau mereka bercuti sebelum hari raya, mereka perlu bekerja semasa Aidilfitri,” katanya selepas program agihan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di Surau Khalid Al-Walid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Bubur lambuk itu sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan Syarikat Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (ERA).
Arjunaidi memberitahu, polis akan menggunakan pertimbangan ketika melakukan pemeriksaan di rumah sekiranya terdapat ramai orang di dalam sesebuah rumah itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan pihaknya sedang menunggu SOP musim perayaan Aidilfitri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kalau MKN membenarkan 10 orang dalam satu rumah, kita akur dengan penetapan yang dibuat mereka.
“Saya harap orang ramai dapat mematuhi SOP Aidilfitri yang dikeluarkan kerajaan nanti,” katanya. – K!ONLINE