BUKIT KAYU HITAM – Ops Benteng yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu berjaya menurunkan jumlah kes penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba merentasi sempadan negara secara haram sebanyak 35 peratus.
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddean Jantan berkata, penurunan itu jelas menunjukkan bahawa operasi tersebut memberi kesan kepada cubaan menyeludup masuk PATI ke negara ini menerusi lorong tikus dan laluan haram.
“Selain itu, sebelum ini iaitu sepanjang 2019 dan 2020, jumlah atau hasil rampasan pelbagai barang di kawasan tanggungjawab (KTJ) Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) hanyalah kira-kira RM2.4 juta.
“Begitu pun sejak Ops Benteng ini dilaksanakan, 2 Divisyen telah mencipta kejayaan operasi yang mana nilai rampasan hingga April 2021 adalah sebanyak RM24.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Mobiliti Darat kepada Ops Benteng Zon Utara KTJ 2 Divisyen di Markas Taktikal Kompeni Pos 5 Operasi Pagar II Siri 2/2021 di sini hari ini. – K! ONLINE