SEBERANG PERAI – Beberapa kilang di Taman Industri Seri Juru dekat Bukit Mertajam di sini dan penternakan akuakultur di kawasan sekitar dipercayai menjadi punca pencemaran kepada sistem perparitan di kawasan itu.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, tinjauan pihaknya mendapati kilang yang beroperasi kebanyakannya adalah dalam kategori industri berat dan ada segelintir yang tidak mempamerkan papan tanda.
Beliau berkata, tinjauan turut mendapati lambakan bungkusan sisa-sisa plastik yang dipercayai untuk dijadikan bahan proses kitar semula.
“Sama ada plastik import atau bukan tidak dapat dipastikan namun bungkusan-bungkusan besar plastik terbabit dapat dilihat dengan jelas dari luar serta dalam ruang dalaman premis berkenaan.
“Air dari saliran-saliran parit yang terdapat di kawasan industri ini kelihatan berwarna hitam dan berbau seolah dicemari dengan buangan sisa kumbahan yang tidak dirawat dan bahan pencemar lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE