PETALING JAYA – Genap sebulan bernikah, Neelofa akhirnya menerima dengan hati terbuka kompaun berjumlah RM60,000 yang dikenakan terhadapnya dan keluarga akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa majlis pernikahannya, Mac lalu,
“Seperti yang telah diberitakan, ya, saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa,” jelas Neelofa.
Akur dengan natijah tersebut, pengacara MeleTOP itu menyifatkan hukumannya yang diterima sebagai satu peringatan agar sentiasa menitikberatkan soal SOP.
“Hukuman ini peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP.
“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya. Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian,” tulis Neelofa dalam satu kenyataannya kepada Kosmo!.
Neelofa dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lebih dramatik, hukuman diputuskan selepas genap sebulan pasangan itu bergelar suami isteri sejak 27 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan itu melibatkan majlis pernikahan mereka iaitu Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial.
Usahawan itu turut gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah.
Sebelum ini, kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan usahawan Neelofa dan PU Riz melanggar SOP PKPB, dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara disertakan dengan beberapa penambahan baharu.
Majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz menimbulkan kontroversi apabila tular gambar menunjukkan jemputan tidak tidak mematuhi SOP PKPB ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – K! ONLINE