Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seorang tukang jahit wanita berketurunan Orang Asli tidak menang tangan apabila mendapat tempahan 500 helai pelitup muka kain bagi keperluan penduduk kampung sejak tiga hari lalu.
Johara Ibrahim, 43, yang Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis berkata, tempahan pelitup muka itu ekoran peraturan terbaharu pihak kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula semalam.
Katanya, dia amat terkejut menerima banyak permintaan penduduk kampung selepas tempahan jahitan baju sempena Hari Raya Aidilfitri lalu terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Setakat ini, saya sudah jahit hampir 1,000 pelitup muka yang boleh dibasuh dan diulang pakai sejak PKP pada Mac lalu.
“Kain yang saya gunakan jenis kapas (cotton) yang tidak panas dan amat selesa sekiranya dipakai sepanjang hari,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Johara yang mempunyai kemahiran menjahit pakaian sejak 20 tahun lalu itu berkata, dia berjaya menyiapkan 50 penutup hidung dalam masa sehari.
Katanya, harga bagi sehelai pelitup muka yang dijual adalah RM5 sehelai untuk saiz dewasa dan kanak-kanak.
“Sambutan sangat menggalakkan dan usaha menjahit 500 pelitup muka dalam tempoh ini amat membantu menjana pendapatan saya.
“Meskipun tidak dapat menyiapkan tempahan lain, saya bersyukur kerana masih boleh menghasilkan pelitup muka bagi membantu keluarga dalam keadaan sekarang,” katanya.
Tambah Johara, dia juga berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menyediakan premis jahitan yang selesa untuknya sejak lebih 5 tahun lalu.
Katanya, dia turut mendapat bantuan empat buah mesin jahit untuk mengembangkan perniagaan dengan menjahit baju kurung dan baju seragam.
“Kebanyakan pelanggan tetap saya adalah penduduk tempatan orang Melayu yang tinggal di sekitar bandar Gua Musang.
“Selain mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan terhadap hasil jahitan, kadar upah saya ambil juga berpatutan,” katanya. – K! ONLINE