GEORGE TOWN – Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengeluarkan mayat seorang pemandu kereta jenis Proton Wira yang maut dihempap sebatang pokok tua di tepi Jalan Perak, Jelutong di sini pagi tadi.
Mangsa, Yong Geeng Huei, 53, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di bahagian gear keretanya oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak kira-kira pukul 11.04 pagi.
Pegawai Operasinya, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa yang lama disebabkan berdepan kesukaran memotong dahan pokok bersaiz lilit dua meter yang tumbang di atas kenderaan terbabit.
“Pasukan menggunakan gaji berantai untuk memotong dahan pokok yang besar itu dan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa terbabit. Kita juga mendapatkan bantuan kren Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Pemandu kereta tersebut ditemui sudah kaku dan kematian telah disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut beliau lagi, operasi tersebut turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan bomba sukarela berhampiran. – K! ONLINE