PETALING JAYA – Pemaju hartanah, Sheng Tai International Sdn. Bhd. (Sheng Tai International) bercadang untuk mengetengahkan Melaka sebagai hab fesyen negara pada masa depan menerusi kerjasama dengan Fashion TV yang berpangkalan di Paris.
Pengerusi dan Pengasas Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, misi tersebut bakal melibatkan pembangunan komponen sokongan termasuk akademi peragaan, agensi model, akademi fesyen dan galeri jualan untuk pereka tempatan dengan memanfaatkan komponen hartanahnya di Melaka.
Projek itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama beberapa nama besar dalam industri fesyen tanah air.
Antaranya ialah pereka, Bill Keith dan bekas model yang juga Miss Malaysia 1984, Betty Anne Brohier.
Menurut Sir Ley, Melaka yang kaya dengan keindahan alam semulajadi, sejarah dan pertembungan budaya antara timur dan barat amat sesuai untuk dijadikan hab fesyen negara selepas Kuala Lumpur.
“Kini terdapat trend yang mana budaya korporat dan jenama gaya hidup telah bergabung untuk mencipta lebih nilai buat pelanggan, ini dapat dilihat daripada pelancaran Armani Hotel di Dubai dan Bvlgari Hotel Beijing.
“Selain pendidikan dan penjagaan kesihatan, industri fesyen juga dilihat sebagai platform yang baik untuk membangunkan ekosistem menarik buat pelabur untuk membeli hartanah di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Projek pembangunan lain Sheng Tai International di Melaka adalah MetraSquare, Ames Hotel, Regalia Beachfront Residence dan yang terbaharu, The Sail Melaka yang memiliki nilai pembangunan kasar RM6.5 bilion.
Sementara itu, Keith menjelaskan, pembangunan Melaka sebagai hab fesyen akan memanfaatkan keseluruhan industri, bukan hanya pereka fesyen malah model, jurusolek dan pendandan rambut dalam suasana ekonomi yang perlahan akibat pandemik.
Jelasnya, beliau sendiri sedang mencari antara 50 hingga 60 pereka tempatan berpotensi dan mereka akan diberi peluang untuk membuka premis di galeri jualan yang sedang dibangunkan di Metrasquare.
“Ini termasuk pereka beg tangan, kasut, aksesori dan busana tempatan seperti batik serta songket,” katanya.