LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan mendabik dada apabila berjaya membantu pasukan meraih kejuaraan Piala Liga Inggeris buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Sebaliknya, Guardiola lebih berminat untuk memuji barisan pemain skuad The Citizens yang berkelas dunia, sekali gus memudahkan misinya dengan menjulang trofi ke-25 sepanjang kariernya selaku ketua jurulatih.
Kata Guardiola, peluang melatih beberapa kelab gergasi Eropah sememangnya menjadi tiket untuk mendapatkan kejuaraan trofi utama dan tradisi itu diteruskan apabila dipilih untuk mengendalikan City pada 2016.
“Saya sangat gembira apabila menjuarai trofi sekali lagi dan tidak keterlaluan untuk saya katakan, peluang untuk membimbing kelab besar Eropah seperti City, Barcelona dan Bayern Munich mungkin memudahkan lagi kejayaan saya.
“Lebih manis, kejuaraan kali ini menyaksikan penyokong turut hadir ke stadium dan situasi ini menggembirakan saya dan para pemain untuk memberikan yang terbaik di atas padang,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Dalam perkembangan sama, Guardiola turut memuji impak yang diberikan oleh pemain sayap sensasi, Raheem Sterling dalam memberi kesukaran buat benteng pasukan Spurs sepanjang perlawanan.
“Melihat aksi yang dipamerkan oleh Sterling memberikan saya kepuasan yang tinggi. Dia cukup agresif dalam mengasak benteng pertahanan lawan, namun tidak bernasib baik apabila gagal meledak gol atau mencipta peluang buat rakan sepasukan,” katanya. – AGENSI