KUALA LANGAT – Sekumpulan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang menunggu bot untuk menyusup keluar ke Indonesia ditahan di Kampung Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat di sini semalam.
Penahanan 14 lelaki warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia 23 hingga 51 tahun dilakukan pukul 8.30 malam di sekitar kawasan ladang kelapa sawit di kampung berkenaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, siasatan mendapati kesemua PATI dibawa menggunakan perkhidmatan aplikasi e-hailing dipandu seorang lelaki.
Katanya, mereka kemudiannya ditempatkan di kawasan ladang kelapa sawit.
“Hasil siasatan mereka sedang menunggu bot untuk membawa mereka ke Indonesia melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
“Kita turut merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat di sini untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE