PETALING JAYA – Seorang warga emas berusia 83 tahun melecur 10 peratus pada bahagian badan dan tangan selepas rumah banglo dua tingkat miliknya di Jalan Nusa, Taman Duta, Kuala Lumpur terbakar hari ini.
Dalam kejadian itu, empat buah kenderaan jenis Toyota Camry, Toyata Hilux, Mercedes Benz dan van Mitsubishi turut musnah dijilat api.
Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II, Mohd. Hafizan Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 4.02 minit petang.
“Seramai 38 anggota pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan dibantu BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Titiwangsa dan BBP Taman Tun Dr. Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera bomba di lokasi, kita dapati sebuah rumah banglo dua tingkat jenis kekal terbakar dalam 80 peratus dan empat buah kenderaan yang berada di kawasan rumah berkenaan turut musnah dijilat api,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemilik kediaman berusia 83 tahun turut melecur ketika dia cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Katanya, operasi pemadaman kebakaran telah dilakukan oleh anggota bomba dengan memberi tumpuan di sebelah kiri dan kanan rumah untuk mengawal api daripada merebak.
“Kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.01 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE