PETALING JAYA – Angkara brek tidak berfungsi menyebabkan sebuah lori pasir 22 tan hilang kawalan ketika menuruni Bukit Permai lalu merempuh tiga buah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat Jalan Tasik Permai, Ampang hari ini.
Susulan kejadian itu, pemandu dan penumpang ketiga-tiga kenderaan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan berlaku sekitar pukul 12.35 tengah hari melibatkan sebuah lori pasir dan tiga kereta lain yang melalui jalan tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori pasir seberat 22 tan dipandu seorang lelaki dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, lori berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan dipercayai brek tidak berfungsi ketika menuruni Bukit Permai lalu merempuh tiga buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Tasik Permai.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan lori terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu dan penumpang kesemua kereta hanya mengalami cedera ringan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil bagi menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-643 6327. – K! ONLINE