fbpx

RM15,310 lesap ‘ditelan’ aplikasi jimat bil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nang Ah Wa (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya apabila menyedari mengalami kerugian lebih RM15,000 selepas memuat turun satu aplikasi telefon bimbit, Mac lalu. -Foto KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang wanita kerugian sebanyak RM15,310 apabila wang dalam akaunnya lesap dalam tempoh satu malam selepas memuat turun satu aplikasi jimat bil elektrik dan air pada 23 Mac lalu.

Mangsa, Nang Ah Wa, 40, memberitahu, dia mengetahui mengenai aplikasi tersebut melalui satu iklan yang dibacanya dalam laman sosial Facebook.

Katanya, iklan itu mendakwa aplikasi berkenaan mampu memberi penjimatan terhadap bil elektrik dan bil air dengan pembayaran awal sebanyak RM10 sahaja, menyebabkan dia tertarik untuk mencubanya.

“Selepas menghubungi pihak pengiklan, mereka mengirimkan satu ‘link’ melalui WhatApps dan meminta saya untuk memuat turun aplikasi berkenaan kira-kira pada pukul 7 malam.

“Kemudian lebih kurang pukul 10 malam ketika menyemak akaun bank, saya dapati kesemua duit berjumlah RM15,310 dalam akaun telah hilang,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Tambah wanita yang bekerja sebagai seorang pembantu jualan itu lagi, wang berkenaan merupakan wang simpanannya hasil daripada pemberian suami yang bekerja di Singapura.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Dan Perkhidmatan Awam MCA Pasir Gudang, Ang Tun Chiek memberitahu, kes penipuan itu adalah kaedah scam baharu iaitu menipu mangsa dengan menggunakan aplikasi dalam talian telefon bimbit.

“Kami telah melakukan penjejakan transaksi wang mangsa dan mendapati duit itu dipindah kepada satu syarikat yang merupakan pihak ketiga.

“Apabila kami menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan maklumat transaksi mereka tidak mahu membantu, saya harap polis boleh siasat,” ujarnya pula.

Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya pada 28 Mac lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI