LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp nyata berang selepas menyaksikan pasukannya sekadar terikat 1-1 menentang Newcastle United di Anfield pada aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.
The Reds memulakan aksi dengan cukup sempurna selepas meledak gol pembukaan seawal minit ketiga perlawanan menerusi Mohamad Salah selain dilihat menguasai perlawanan itu dengan melakukan 22 percubaan ke arah gawang Newcastle.
Dalam keghairahan mereka menambah jaringan, The Magpies mencipta kejutan apabila meledak gol penyamaan menerusi Joel Willock ketika perlawanan hanya berbaki beberapa saat untuk ditamatkan.
“Kami perlu mengambil pelajaran daripada perlawanan ini atau kami perlu lupakan sahaja saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
“Saya tidak fikir kami mampu untuk mencipta peluang terbaik seperti mana yang kami peroleh sepanjang perlawanan ini berlangsung.
“Sudah tentu kami menjaringkan gol yang hebat tetapi kami gagal membunuh perlawanan ini. Kami memberikan mereka banyak peluang untuk mendapatkan jaringan dan pada akhirnya mereka layak untuk mendapat jaringan.
“Kami jarang mendapat ‘ihsan’ daripada Video Bantuan Pengadil (VAR) seperti aksi kali ini tetapi selepas itu kami membuka peluang untuk mereka menjaringkan gol. Ia adalah keputusan yang sukar diterima,” katanya.
Klopp turut mengakui bahawa Liverpool berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi memuji aksi Newcastle yang tidak berputus asa menggunakan pendekatan serangan balas pantas. – AGENSI