LONDON – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton perlu mengambil langkah drastik dan mempamerkan aksi lebih agresif sekiranya ingin mempertahankan gelaran dunia yang diraihnya pada musim lalu selepas hanya meraih podium tempat kedua pada saingan di Grand Prix (GP) Emilia Romagna minggu lalu.
Pandangan itu disuarakan oleh juara dunia F1 1997, Jacques Villeneuve apabila menyaksikan kebangkitan pemandu Red Bull Racing (RBR), Max Verstappen yang melakar kemenangan di Litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari di Imola, Itali.
Villeneuve menegaskan tindakan yang dilakukan Verstappen sama seperti yang beliau lakukan ketika berjaya mengatasi Michael Schumacher sebelum ini.
“Sudah pasti saingan tahun ini menarik untuk disaksikan. Kita melihatnya di Imola bahawa Hamilton sudah tidak berani mengambil risiko besar. Bagi saya dia perlu segera melakukannya kerana musim lalu dia tidak begitu dicabar.
“Hamilton perlu menyekat Verstappen pada awal perlumbaan di Imola kerana ketika itu dia berada di posisi yang tepat dan tidak boleh membiarkan pelumba itu memintasnya.
“Bagaimanapun, bendera merah akibat kemalangan melibatkan Valtteri Bottas dan George Russell menyelamatkan Hamilton untuk menaiki podium tetapi dia tidak boleh bergantung dengan insiden seperti itu,” kata Villeneuve.
Beliau turut mengakui kehadiran Sergio Perez bersama RBR musim ini satu langkah terbaik untuk memberi sokongan kepada Verstappen untuk memastikan mereka berjuang merebut gelaran dunia.
“Perez adalah pelumba baharu Red Bull dan ketika ini dia lebih kuat jika dibandingkan dengan Bottas selepas lima tahun mengemudi pasukan Mercedes. Saya lihat Perez banyak membantu Verstappen lebih banyak daripada Bottas membantu Hamilton,” tambahnya.
– AGENSI