PETALING JAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bahawa persidangan boleh dilakukan sewaktu darurat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, melalui mesyuarat MKT itu juga, parti itu bertegas bahawa kerajaan sedia ada tidak boleh dilihat sebagai cuba memandulkan amalkan demokrasi berparlimen.
Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana yang diamalkan di negara seluruh dunia.
“Parlimen dan DUN adalah medan semak dan imbang di kalangan wakil-wakil rakyat, agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati sehingga membelakangkan kepentingan rakyat.
“Selain itu, kerajaan juga perlu ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kegagalan mengadakan persidangan Parlimen akan menyebabkan keyakinan dan kepercayaan pelabur akan terus terhakis sekiranya tiada aspek ‘good governance’ dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.
Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan parti, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, MKT akan menghantar surat kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
Katanya, surat itu bertujuan untuk meminta nasihat dan pandangan tentang bagaimana pemilihan dijalankan selaras Perlembagaan UMNO dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Selain itu, ia juga bagi memastikan proses pemilihan yang melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO cawangan-cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri berjumlah 66,287 di semua 181 bahagian melibatkan 3.3 juta ahli dengan berkesan serta lancar, ” ujar Ahmad.-K! ONLINE