fbpx

Suntik vaksin jamin keselamatan atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suntikan vaksin bagi atlet negara penting. - Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

BARISAN atlet sukan profesio­nal negara yang mempunyai misi penting pada tahun ini boleh tersenyum lebar apabila mereka akhirnya diberikan suntikan vaksin Covid-19 pada bulan ini.

Tatkala negara-negara luar turut melakukan perkara sama dengan menjadikan atlet antara sebahagian daripada frontliner sebagai penerima vaksin tera­wal, Malaysia juga tidak terkecuali.

Ini kerana, ada dalam kala­ngan atlet negara berusaha untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa yang mana mereka akan bersaing pada temasya sukan paling berprestij, Sukan Olimpik 2020 di Jepun pada Julai ini.

Kelompok pertama pembe­rian vaksin dalam kalangan warga sukan pada 13 April lalu melibatkan 264 orang termasuk jurulatih dan pegawai sukan yang berada dalam Program Podium.

Daripada jumlah itu, 35 orang merupakan atlet Paralimpik dan 93 orang pula adalah atlet negara yang sudah dan dalam bayangan layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Situasi sama menyaksikan 78 orang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu pegawai, jurulatih dan pemain Harimau Malaya menerima suntikan pertama minggu lalu.

Pemberian vaksin ini penting dalam menyuntik semangat pa­sukan kendalian Tan Cheng Hoe yang akan berkelana ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk mengharungi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Padangan itu disuarakan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, suntikan itu dapat menjamin keselamatan delegasi skuad negara ke UAE secara ke­seluruhan.

“Insiden tidak diingini sudah tentu dapat dielakkan apabila terbang ke luar negara kelak.

“Kita tidak mahu apabila kita tiba di sana, akan kehilangan separuh daripada pasukan. Kalau kita lihat pada saingan ACL (Liga Juara-juara AFC) tahun lalu, beberapa pasukan terpaksa tarik diri kerana ada kluster dalam pasukan.

“Vaksin ini bagi memastikan keselamatan pemain yang akan merantau ke Dubai nanti tidak risau akan kluster dalaman. Ia adalah pilihan tepat, kalau tidak kita mungkin berada satu situasi yang ada risiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui lebih selamat untuk menyertai Piala Cabaran Dunia FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) di Mesir pada Jun selepas menerima vaksin.

“Saya akan ke Mesir untuk pertandingan pertama selepas Sukan SEA Filipina pada 2019. Memandangkan sekarang era pandemik, sudah tentu perasaan risau ada tetapi selepas divaksin, saya rasa lebih selamat,” katanya.

Diharapkan selepas ini ke­seluruhan atlet termasuk pemain bola sepak profesional dapat menerima vaksin agar mereka dapat berjuang mengharumkan nama negara tanpa tekanan.

Situasi itu penting kerana baru-baru ini enam pemain Akademi Badminton Malaysia positif Covid-19.

Selepas temasya Sukan O­limpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, barisan atlet negara akan mengalihkan tumpuan untuk menyertai temasya dwitahunan, Sukan SEA 2021 di Hanoi.

Buat Harimau Malaya, jika mempamerkan aksi cemerlang di UAE, mereka boleh meloloskan diri ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2022 atau jika gagal, sudah tentu tumpuan akan diberikan untuk kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI