PETALING JAYA – Platform penyelesaian penghantaran e-dagang, EasyParcel Sdn. Bhd. (EasyParcel) merekodkan penyertaan 10,000 usahawan wanita menerusi kempen #WomenPreneur yang dilancarkan pada Ogos lalu.
Pengasas dan Pengarah EasyParcel, Clarence Leong berkata, setiap ahli #WomenPreneur diberi 50 penghantaran bungkusan percuma sehingga lima kilogram melibatkan peruntukan dana mencecah RM3 juta.
“Dalam hal ini mereka dapat menikmati penjimatan harga terutamanya melibatkan penghantaran bersaiz besar.
“Peserta juga berpeluang mendapat akses kurier berbeza apabila 23 syarikat penghantaran dan logistik telah bekerjasama dengan kami untuk menghantar pesanan kepada pelanggan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Leong, 49 peratus peserta kempen tersebut telah mengirim satu hingga 10 bungkusan setiap bulan melalui laman web EasyParcel dengan sebilangan besar penghantaran ialah dari Selangor yang meliputi sekitar 30 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Selain penghantaran domestik, EasyParcel turut melakukan penghantaran bungkusan ke luar negara.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan untuk membendung penularan Covid-19, EasyParcel telah mengalami lonjakan jualan sehingga 40 peratus daripada jumlah hasil pendapatan sebelumnya,” katanya.
Seorang peserta yang juga pengasas CandleNutsbyNadia, Nurul Nadia Rashid berkata, penggunaan platform EasyParcel memudahkan penghantaran produknya yang 99 peratus dipasarkan secara online.
“Produk kami juga berada di lapan cawangan AEON Co. (M) Bhd. di seluruh negara dengan pengeluaran bulanan mencecah 10,000 pek sebulan.
“Kami juga mempunyai stokis aktif di Brunei yang menyumbang lima peratus daripada pendapatan. Pandemik telah melonjak pasaran online kami sehingga 300 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, pengasas WildMums, Chong Nyuk Cheng, 37, berkata, pihaknya yang menjual produk permainan kanak-kanak secara online melihat norma baharu telah menyumbang prestasi jualan memberangsangkan.
“Kami melihat trend pembelian permainan kanak-kanak berkualiti secara online lebih diminati golongan ibu bapa yang bekerja dari rumah.
“Anggaran pendapatan kasar produk kami sejak dilancarkan Ogos tahun lalu telah melebihi RM120,000 berdasarkan anggaran kasar pendapatan dari laman web dan platform e-dagang Shopee,” katanya.