PETALING JAYA – Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid terus melakar kejayaan apabila kini sudah meraih kutipan RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan.
Rekod tersebut sekali gus menjadikan filem komedi satira tersebut sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021 setakat ini biarpun masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Mengulas mengenai kejayaan yang diraih, pengarahnya, Mamat Khalid berkata, meskipun filem arahan beliau tidak ditayangkan di pawagam dan mengikut norma baharu, sambutan positif terhadap naskhah Melayu masih mempunyai tempat di hati penonton.
“Alhamdulillah, meskipun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era norma baharu, namun atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari.
“Terima kasih kepada semua penonton yang menerima baik filem ini. Insya-Allah, nantikan karya seterusnya eksklusif di Astro,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Kosmo! Online.
18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.
Ketika Barkoba (lakonan Bell Ngasri) menikmati makanan pada siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak-tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Barkoba mengabaikan zakat, menganiaya orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.
Selain Bell, 18 Puasa Di Kampung Pisang dibarisi pelakon hebat lain seperti Nam Ron, Jaafar Onn, Siti Elizad, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan ramai lagi yang kini masih hangat ditayangkan di Astro First. – K! ONLINE