KLANG – Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara lima penunggang motosikal ditahan selepas melakukan aksi ‘zig-zag’ dan dipercayai berlumba haram di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang, awal pagi tadi
Penahanan kesemua suspek berusia 16 hingga 23 tahun dilakukan bermula 3 pagi menerusi Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kakitangan PBT yang bertugas di bahagian undang-undang itu ditahan bersama dua lagi suspek yang bekerja sebagai operator kilang alat muzik dan peniaga ayam gunting di lampu isyarat lokasi kejadian.
Katanya, mereka menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya dengan cara menundukkan badan serta melakukan aksi zig zag.
“Dalam operasi bermula pukul 11 malam semalam hingga 7 pagi tadi turut menahan seorang penganggur berusia 29 tahun yang memandu kereta dalam keadaan mabuk.
“Kita turut mengeluarkan 107 keping saman dengan paling tinggi direkodkan adalah tiada mempunyai cermin sisi selain tiada dan tamat lesen memandu, pengubahsuian ekzos serta struktur peralatan kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Shamsul Amar, hasil saman itu menerusi 119 buah kenderaan dan motosikal diperiksa melibatkan 128 pengguna jalan raya.
Tambahnya, sebanyak 15 buah motosikal disita pihaknya termasuk dari jenis Yamaha LC 135, Lagenda dan Honda Wave.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 45 (A) (1) dan 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – K! ONLINE