TANGKAK- Tindakan seorang kontraktor warganegara Vietnam yang berdegil memberi sogokan berjumlah RM5,000 kepada seorang pegawai polis bagi tujuan membebaskan dua rakan senegaranya mengundang padah.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, wanita berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 1.35 tengah hari.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu bertemu dengan pegawai penyiasat kes dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
“Wanita berkenaan berjumpa dengan pegawai penyiasat yang berpangkat inspektor bagi cubaan memujuk untuk membebaskan dua rakan lelakinya berusia 31 dan 44 tahun yang ditahan Selasa lalu, kerana kesalahan merentas negeri tanpa permit.
“Bagaimanapun, inspektor berkenaan menolak suapan tersebut berkali-kali selain menasihati wanita itu untuk melupakan hasratnya sebelum tindakan tegas diambil,” katanya pada sidang akhbar di IPD Tangkak, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadhil, wanita itu bagaimanapun enggan dan tetap memberikan rasuah selain membuat tawaran untuk menaikkan nilai ganjaran kepada pegawai tersebut sekiranya tidak mencukupi.
“Suspek cuba membuat tawaran dengan menyatakan dia sedia meningkatkan jumlah wang dari RM5,000 itu kepada nilai-nilai tertentu sebagai balasan untuk pegawai polis membantunya.
“Pegawai itu kemudiannya bertindak tegas dengan menahan suspek sebelum dia diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Beliau berkata, wanita itu kini ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.-K! ONLINE