fbpx

Agong dan permaisuri zahir ucapan takziah susulan tragedi KRI Nanggala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ucapan takziah baginda berdua di laman Facebook.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo serta seluruh rakyat Indonesia susulan tragedi kemalangan yang menimpa kapal selam KRI Nanggala-402.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi ujian dan dugaan yang besar pada bulan Ramadan ini.

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa.

“Baginda berdua mendoakan agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Istana Negara di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, baginda berdua turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Pada masa sama katanya, baginda berdua turut menyampaikan ucapan takziah kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tuan Yang Terutama Hermono.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kapal selam milik Angkatan Laut Indonesia (TNI) yang membawa 53 anak kapal disahkan hilang di perairan sekitar 60 batu di utara Bali, selepas menyelam ke dasar laut awal pagi, Rabu lalu.

Panglima TNI KRI Nanggala-402, Marsekal Hadi Tjahjanto mengesahkan berita mengenai kehilangan kapal selam buatan Jerman pada 1979 itu kepada laman berita Kompas.com.

Kapal itu dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira 95 kilometer dari Bali utara sekitar pukul 3 petang waktu tempatan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI