fbpx

Sempat pinjam pemetik api sebelum ditemui rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Mustaqim menunjukkan kerosakan akibat kebakaran yang merebak ke rumahnya awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – “Jiran memaklumkan arwah ada turun ke rumah bawah antara pukul 3 ke 4 pagi untuk pinjam pemetik api, katanya mahu nyalakan lilin.

“Tidak lama kemudian, rumah mangsa terbakar dan meragut nyawanya,” demikian cerita Muhamad Mustaqim Khairul Anuar, 23, jiran kepada Jasni Ismail, 53, yang ditemui rentung 100 peratus selepas rumahnya beralamat di B-3-10C Flat PKNS, Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini terbakar awal pagi tadi.

Menurutnya, rumah yang diduduki arwah sudah beberapa tahun tidak ada bekalan air dan elektrik.

“Disebabkan itu mangsa guna lilin dan saya tidak menolak kemungkinan lilin itu antara punca menyebabkan rumah mangsa terbakar hingga meragut nyawanya.

“Arwah suka bersendirian dan kurang bergaul dengan orang lain. Kali terakhir saya nampak arwah kelmarin dan saya tegur dia, namun dia nampak sugul dan jauh termenung,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas berkenaan kejadian kira-kira 6 pagi itu, katanya, dia bersama isterinya, Zafirah Arissa Kamarudin, 25, sedang tidur selepas bersahur dan tersedar secara tiba-tiba selepas terhidu bau asap.

“Saya bergegas ke bahagian dapur untuk memeriksa dari mana asap itu datang sebelum isteri memberitahu rumah jiran (mangsa) yang hanya selang dua rumah kami terbakar.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, ada jiran memberitahu terdengar mangsa menjerit meminta tolong, namun jeritan itu hilang beberapa saat kemudian,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi jiran mangsa, Noorzilah Sukor, 62, memberitahu, mangsa tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lalu selepas tiga adik-beradiknya mendirikan rumah tangga.

“Mangsa sudah menetap di sini sejak 1970-an lagi bersama keluarganya, bagaimanapun selepas adik-beradiknya mendirikan rumah tangga, dia tinggal bersendirian di rumah pusaka milik ayahnya itu.

“Dia tidak bekerja secara tetap dan hanya mengambil upah seikhlas hati daripada penduduk untuk melakukan kerja seperti mengangkat pakaian ke kedai dobi, menghantar barang-barang dan lain-lain,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI