fbpx

[VIDEO] Hilux langgar lampu merah, wanita maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nahas membabitkan lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Temenggong Ahmad, Jalan Pintasan Bandar, Muar pagi tadi yang mengorbankan nyawa seorang wanita.

MUAR- Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Temenggong Ahmad, Jalan Pintasan Bandar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa pemandu Perodua Myvi, Norain Abu Samah, 41, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan cedera di seluruh anggota badan.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Perodua Myvi, Nissan Grand Livina, Econovan dan sebuah van jenis Toyota Hiece.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Parit Jawa menghala ke Bandar Muar disyaki telah memandu dengan kelajuan tinggi dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

“Ekoran daripada itu, kenderaan berkenaan telah merempuh kereta mangsa yang baru bergerak setelah lampu isyarat bertukar hijau dari arah Pintasan Jalan Abdul Rahman.

“Rempuhan telah menyebabkan kereta Toyota Hilux terbabas dan turut masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Zaharudin, anak mangsa yang merupakan penumpang Perodua Myvi, Nur Nabila Alisha Mohd. Zalisham, 19, turut parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk membabitkan seluruh bahagian hadapan, pintu hadapan kiri dan kanan, pintu belakang kanan, cermin pintu depan dan belakang sebelah kanan.

“Pemandu Toyota Hilux berusia 69 tahun pula cedera di bahagian kepala serta kaki dan kini dirawat di Zon Kuning HPSF manakala tiga lagi pemandu tidak mengalami kecederaan.

“Polis telah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu Toyota Hilux bagi menjalani saringan ujian alkohol dan dadah,” katanya.

Tambahnya, ketika kejadian simpang empat lampu isyarat berfungsi, keadaan jalan kering dan cuaca baik, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI