SABAK BERNAM – Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera parah selepas kenderaan dinaiki melanggar lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk Intan, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang, kesemua mangsa berusia dua hingga 43 tahun mengalami patah masing-masing di bahagian rahang dan kedua-dua belah bahu selain putus jari telunjuk sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, kemalangan berlaku ketika empat sekeluarga menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dalam perjalanan ke Sungai Air Tawar dari Shah Alam.
Katanya, setiba di lokasi kejadian pemandu kereta berusia 39 tahun hilang kawalan ketika melalui kawasan jalan licin yang sedang dalam kerja-kerja pembersihan.
“Akibatnya, Perodua Kelisa itu terbabas sebelum melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di tepi jalan yang ditutup dengan kon.
“Lori tersebut diletakkan di situ bagi tujuan pembersihan jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua mereka yang kemudiannya dibawa keluar dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K!ONLINE