JAKARTA – Ketabahan isteri Komander KRI Nanggala-402, Kolonel Laut Harry Setiawan mengundang rasa sebak pemberita yang berkunjung ke rumahnya, lapor Suara.com hari ini.
Winny Widayanti masih menaruh harapan, semoga ada keajaiban berlaku kepada angkatan yang dipimpin suaminya itu meskipun kapal selam itu sudah disahkan karam oleh Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI), semalam.
Tidak cukup dengan itu, Winny masih sempat berkunjung ke rumah beberapa anggota KRI Nanggala di Jawa Timur yang turut menanti perkhabaran terbaharu berkenaan insiden tersebut untuk sama-sama berkongsi semangat.
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2021/04/24/indonesia-temui-serpihan-kri-nanggala/
“Saya perlu kuat kerana saya isteri Komander, ketua angkatan kapal. Jika tugas Harry menjaga anak-anak buahnya, tugas saya sebagai isteri adalah menenangkan isteri serta keluarga mereka,” katanya tenang.
Meskipun sedar bahawa harapan untuk anak kapal KRI Nanggala-402 ditemui dengan selamat adalah tipis, Winny masih mengharapkan sesuatu.
Malahan dia masih tidak berhenti mengirim mesej Whatsapp ke nombor Harry bagi memberi perkembangan terkini di rumah.
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2021/04/21/kapal-selam-angkatan-laut-indonesia-terputus-hubungan-di-laut-bali/
“Banyak media datang ke rumah, mereka mengambil gambar saya dan suasana di rumah,” demikian antara mesej yang dikirim Winny yang ternyata tiada balasan sehingga kini.
Situasi itu menimbulkan mengharukan dalam kalangan netizen yang rata-rata mendoakan agar operasi mencari kapal selam buatan Jerman itu dipermudahkan.
“Semoga KRI Nanggala-402 segera ditemui, kita doakan yang terbaik,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Suami anda dan anak-anak buahnya adalah wira negara, semoga husnul khoaimah. Al-Fatihah,” komen seorang lagi. – Agensi