NYON, Switzerland – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah, Aleksander Ceferin mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap empat kelab yang masih berkeras enggan meninggalkan saingan Liga Super Eropah (ESL).
Pada Isnin lalu, ESL mengumumkan bahawa terdapat 12 kelab akan menyertai saingan berkenaan, namun perancangan itu tergendala selepas lapan pasukan menarik diri termasuk enam daripada Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, Real Madrid, Barcelona, Juventus dan AC Milan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pendirian mereka dan dianggap kekal menyokong penganjuran saingan berkenaan.
“Ia adalah jelas kerana kelab-kelab ini perlu membuat keputusan sama ada mereka terus menyokong ESL atau sebaliknya.
“Jika mereka mahu terus menjadi kelab Liga Super Eropah, maka mereka tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara. Jika mereka sudah bersedia, mereka boleh beraksi dalam saingan mereka sendiri.
“Pada saya ada perbezaan situasi dengan kelab yang mengakui kesilapan mereka dan membuat keputusan meninggalkan saingan itu. Saya katakan bahawa projek mereka itu telah mati tetapi mereka enggan mengakuinya,” katanya.
UEFA mengadakan satu mesyuarat kelmarin untuk membincangkan mengenai cadangan hukuman untuk kelab yang menyertai perancangan ESL.
Mereka juga dilaporkan akan mengadakan rundingan bersama Persatuan Bola Sepak di negara-negara terlibat untuk mendapatkan pandangan mengenai tindakan yang sesuai untuk diambil. – AGENSI