SILVERSTONE – Jaguh dunia, Lewis Hamilton berjaya mencatatkan masa terpantas setiap pusingan di Litar Silverstone sekali gus menewaskan rakan sepasukan di Mercedes, Valtteri Bottas untuk meraih petak pertama Grand Prix (GP) Britain sebentar tadi.
Hamilton mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan terakhir dengan catatan 0.313 saat (s) di hadapan Bottas manakala pelumba Red Bull, Max Verstappen berjaya memintas pemandu Ferrari, Charles Leclerc untuk berada di petak ketiga.
Petak pertama yang diraih Hamilton itu adalah kali kelima yang dilakukannya di Litar Silverstone dalam tempoh enam tahun dan pemandu Britain itu juga memburu kemenangan kali ketujuh di laman sendiri hari ini (pukul 9.10 malam waktu tempatan).
“Secara relatifnya terdapat jurang besar antara saya dan tempat ketiga tapi itu bukan masalah.
“Bottas memberi tekanan besar menyebabkan saya melakukan pemanduan sehingga maksimum. Dia berterusan memberi tekanan kepada saya minggu ini.”
“Saya telah melakukan beberapa perubahan pada jentera sebelum sesi kelayakan tetapi situasi bertambah buruk. Keadaan benar-benar sukar di atas litar,” kata Hamilton.
Sementara itu, pemandu McLaren, Lando Norris akan memulakan perlumbaan di petak kelima iaitu di hadapan pelumba pasukan Racing Point, Lance Stroll di tempat keenam.
Seorang lagi pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang bergelut sepanjang minggu ini hanya mampu menduduki petak ke-10 untuk perlumbaan nanti. – K! ONLINE