KOTA BHARU – Dua daripada tiga mangsa yang terlibat dalam kejadian sebuah bot karam di perairan Kuala Besar di sini ditemui selamat selepas hampir 19 jam terapung di lautan.
Dua mangsa, Mat Awang@Jali, 54, dan Mat Harun Mohd. Nor, 55 yang turun ke laut untuk mencandat sotong ditemui kira-kira pukul 3 petang tidak jauh daripada lokasi bot mereka karam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kedua-dua mangsa ditemui sedang berpaut pada sebuah kotak di fiber di tengah-tengah laut.
“Kedua-dua mangsa yang selamat dibawa mendarat ke Jeti Pantai Sabak dekat Pengkalan Chepa di sini.
“Mangsa akan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Abd. Rahim, setakat ini, seorang lagi mangsa, Zulshahmin Danial Zulazman, 26, masih belum ditemui.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih dijalankan dan akan bersambung semula pagi esok sekiranya masih belum ditemui sehingga lewat petang ini.-K! ONLINE