KOTA BHARU – Tiga nelayan dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka karam ketika dipukul ribut di kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Besar di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaakub berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 7.12 pagi tadi.
Katanya, Maritim Malaysia Kelantan turut Kapal Maritim (KM) Amanah dengan kekuatan seramai 24 anggota untuk membantu SAR.
Menurutnya, sektor pencarian melibatkan radius pencarian sekitar 25 batu nautika persegi dengan menumpukan posisi bot karam.
“ Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut bersama di lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 13 orang menjayakan SAR yang digerakkan pagi tadi.
“Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mat Awang, 54, Mat Harun Mohd Nor, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dengan mengambil berat tentang keadaan cuaca semasa menerusi aplikasi Jabatan Meteorologi.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis akan menambah bilangan anggota untuk meluaskan kawasan SAR sekiranya mangsa masih belum dijumpai.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang dapat membantu dalam usaha pencarian ketiga-tiga mangsa.
“Selain itu, kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga mangsa memakai jaket kesalamatan atau tidak sewaktu mencandat sotong,” katanya ketika ditemui pemberita di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini. -K! ONLINE