PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengesahkan penahanan pereka grafik atau kartunis, Fahmi Reza susulan satu hantaran berbaur penghinaan ke atas Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarahnya, Datuk Huzir Mohamed berkata, Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara, semalam oleh pasukan JSJ Bukit Aman.
“Penahanan ke atas individu berkenaan dibuat berikutan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran yang dibuat suspek menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Tunku Azizah.
“Hantaran itu mengandungi sekeping gambar Baginda Raja Permaisuri Agong berserta kapsyen berbunyi ‘This is dengki ke?’ ,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, Fahmi Reza yang juga seorang aktivis itu akan dibawa ke hadapan Majistret hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Justeru itu, kita menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu-gugat keharmonian negara,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial bertanya adakah tukang masak istana telah divaksin, yang kemudiannya dikatakan dijawab oleh Tunku Azizah dengan” “Dengki ke?”.
Susulan itu, Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘This is dengki ke?’ di laman sosial Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify. – K! ONLINE