LONDON – Bekas ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Jurgen Klinsmann tidak menolak kemungkinan menggalas jawatan pengurus Tottenham Hotspur sekiranya ditawarkan peluang mengendalikan kelab dari Utara London itu.
Klinsmann, 56, teruja selepas namanya dikatakan tersenarai antara calon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pengendali berprofil tinggi, Jose Mourinho yang dipecat baru-baru ini.
Bekas penyerang Spurs pada era 1990-an itu sedia menawarkan dirinya memandangkan beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas menamatkan kontraknya dengan kelab terakhir, Hertha Berlin dari Jerman pada Februari tahun lalu.
“Siapa sangka saya dilantik sebagai jurulatih Jerman sewaktu Piala Dunia 2006. Malah, saya juga langsung tidak terfikir akan menjadi jurulatih Bayern Munich atau AS selama enam tahun.
“Oleh sebab itu, saya katakan bahawa segalanya tidak mustahil dalam tempoh beberapa bulan seterusnya kerana mungkin selepas ini saya akan menjadi pengurus Spurs,” katanya.
Antara nama lain berada dalam radar pihak pengurusan Spurs ialah Julian Nagelsmann yang ketika ini berjaya mengemudi RB Leipzig menduduki tangga kedua Bundesliga dengan 10 mata ketinggalan di belakang Bayern.
Selain itu, nama Maurizio Sarri turut berada dalam senarai berdasarkan prestasinya mengemudi kelab-kelab besar Eropah seperti Napoli, Chelsea dan Juventus.
Buat sementara waktu, Ryan Mason yang baru berusia 29 tahun tanggungjawab mengendali Spurs dan akan menghadapi aksi final Piala Liga England menentang Manchester City di Stadium Wembley malam esok.
– AGENSI