PADA 5 Mac 2013, penulis berada dalam perut ‘kereta sapu’ dari Tawau menuju ke Lahad Datu. Penulis pada masa itu merupakan staf Kosmo! Biro Sarawak.
Rentetan pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah bermula 11 Februari 2013, penulis diperlukan untuk membantu Kosmo! Biro Sabah.
Mengimbau kembali, kira-kira pukul 8 malam pada 2 Mac 2013, penulis dihubungi Pengarang Kosmo! ketika itu Baharom Mahusin (Allahyarham Datuk Baharom Mahusin). Penulis waktu itu berada di Serian dan dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke Kuching.
“Ada pegawai, anggota polis maut bertempur di Sabah (merujuk kejadian di Simunul, Semporna). Sampai Kuching kemas baju, nanti sedia cari flight ke Sabah,” ujar Allahyarham.
Jadi pada 4 Mac penulis dan bekas jurugambar Kosmo!, Amir Hafiz Abd. Rahman menggunakan penerbangan kedua terawal. Kami transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum sebelah malamnya tiba di destinasi tujuan iaitu Tawau.
Berikutan keadaan di Tawau tenang, tidak ‘sepanas’ di Semporna dan Lahad Datu, penulis meminta izin dengan Allahyarham untuk ‘bergerak’ ke Lahad Datu.
Malah, pada pagi 5 Mac itu, jet-jet pejuang ATM sudah ‘membantai’ Kampung Tanduo.
Masih ingat lagi apabila corong-corong radio dalam ‘kereta sapu’ itu memutarkan lagu-lagu patriotik. Walaupun hanya bertugas sebagai wartawan, perasaan kami berdua ketika itu seperti menggenggam selaras senjata.
Adakah kita kenal dengan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud serta dua anggota Angkatan Tentera Malaysia, Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan?
Ingatkah kita pada nama-nama seperti Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Anak Padel, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon, Koperal Mohd. Azrul Tukiran, Sarjan Mejar Baharin Hamit dan Sarjan Salam Tugiran?
Mereka adalah 10 patriot kita yang gugur semasa peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Kemuncak peristiwa pencerobohan Lahad Datu ialah pada 2 Mac 2013 apabila pasukan diketuai Ibrahim diserang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna. Enam daripadanya maut.
Dalam keterangan di mahkamah, seorang saksi memberitahu, mayat enam anggota polis yang tewas di Simunul itu dicacatkan pengganas. Ada dipenggal kepala, otak dan mata hilang, muka hanya kelihatan tulang muka.
Ironinya, butiran didedahkan pihak berkuasa mendapati ada anggota mereka sendiri yang menjadi pengkhianat atau tali barut kumpulan pengganas ini.
Itu sedikit bingkisan pengalaman penulis. Cuma kebelakangan ini apa yang tidak sedap penulis lihat pendedahan demi pendedahan melibatkan salah laku penguat kuasa di negara ini.
Realiti hari ini, sebenarnya kita tidak perlu berkorban seperti 10 mereka yang gugur itu. Cukup sekadar ‘berjihad’ melawan hawa nafsu selain mengekalkan tahap integriti tinggi dalam diri. -K! ONLINE