PETALING JAYA – Penyanyi Siti Sarah menasihati orang ramai supaya memberi ruang kepada pelakon, Janna Nick serta sesiapa sahaja yang sedang berjuang dengan masalah mental.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu mengakui terkejut dengan pengakuan Janna yang pernah dua kali membuat percubaan membunuh diri sejak usia remaja.
“Saya baru baca hantaran @jannanick dalam Instagram. Allahuakbar, hati saya terdetik dan terus DM (mesej) dia (Janna).
“Janna seorang yang baik dan pernah terjumpanya beberapa kali. Kami juga ada berbual-bual dalam Instagram. Saya ikut perkembangam dia. Janna seorang gadis yang bekerja keras dalam bidang seni,” kata Sarah.
Bagaimanapun, di sebalik kekuatan pelakon tersebut, Sarah tidak menyangka bahawa Janna sebenarnya sedang diuji masalah mental.
Bahkan Sarah juga turut menitipkan doa agar pelakon Marry Me Senorita itu supaya kuat dan tabah.
“Akak doakan adik (Janna) kuat untuk hadapi semua ini. Kuat untuk diri sendiri, keluarga dan peminat. Teruskan melawan.
“Insya-Allah akan dipermudahkan. Apa yang Sarah tahu perkara yang melibatkan kesihatan mental bukan benda yang boleh dibuat main,” ujar pelantun lagu Kesetiaan itu.
Justeru, Sarah meminta supaya semua pihak dapat memberikan ruang kepada Janna mahupun sesiapa juga yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mental.
“Jangan hakimi, kita sendiri tidak tahu apa yang mereka lalui. Kita tidak ada dalam situasi mereka.
“Jom kita doa dan mohon yg baik-baik agar semua dipermudahkan. Jaga percakapan, jaga perbuatan dan jaga pertuturan. Moga kita semua terus berada dalam rahmat Allah SWT,” tulisnya.
Semalam Kosmo! mendedahkan pengakuan Janna apabila memberitahu bahawa dia pernah cuba untuk mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri sebanyak dua kali.
Janna cuba untuk membunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun dengan cara menelan segenggam panadol dan mengelar pergelangan tangannya. – K! ONLINE