fbpx

3,000 kes sehari menjelang Aidilfitri jika gagal patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sambutan hari raya Aidilfitri bakal ‘diraikan’ dengan penularan kes Covid-19 yang semakin memburuk kepada 3,000 kes sehari sekiranya prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi.

Berdasarkan ramalan Kementerian Kesihatan (KKM), graf turut menunjukkan kes baharu juga boleh mencecah hampir 5,000 kes sehari pada penghujung Mei jika berterusan tidak mematuhi SOP.

Bagaimanapun, jika semua pihak bersama-sama untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan, ia dijangka memberi ‘sinar’ terhadap penurunan kes harian kurang daripada 1,000 menjelang hari raya Aidilfitri seterusnya penghujung akhir Mei.

Pada masa sama, kadar kebolehjangkitan (Rt) juga diramalkan meningkat kepada 1.2 berdasarkan lengkungan senario ‘ketidakpatuhan kepada SOP’.

Namun, Rt tersebut dijangka menurun daripada 1.2 kepada 0.8 mengikut lengkungan senario ‘kepatuhan kepada SOP’

Terbaharu, semalam kes harian negara mencatatkan sebanyak 2,875 kes dengan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Rt di seluruh negara adalah 1.16.

Mengikut pecahan di peringkat negeri pula, Kelantan mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.53, diikuti oleh Kuala Lumpur (1.29), Melaka (1.23) dan Kedah (1.18).

Negeri lain yang turut mencatatkan Rt mengatasi 1 ialah Negeri Sembilan (1.16), Pahang (1.16), Sabah (1.14), Sarawak (1.14), Selangor (1.12) Johor (1.12) dan Terengganu (1.11).

Terdapat dua negeri dan dua wilayah mencatatkan Rt di bawah 1 iaitu Putrajaya (0.95), Pulau Pinang (0.94), Perak (0.94) dan Labuan (0.75) manakala, tiada kadar Rt direkodkan di Perlis semalam kerana negeri tersebut tidak melaporkan kes baharu.

Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 2,875 kes harian negara, menjadikan jumlah kes positif di seluruh negara mencecah 384,688 kes.

Ia turut disumbangkan oleh 13 kluster baharu melibatkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan satu kluster keagamaan.

Selain itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 juga terus meningkat kepada 22,014 kes semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI