KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini dituduh memukul dua pengawal peribadinya, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadi itu.
Bagaimanapun tertuduh Chung Chee Yang, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd. Azminizam Zulkepli, 44 di lif dan Lobi di sebuah kondominium di Dang Wangi di sini antara pukul 8.40 dan 8.43 malam pada 13 April lalu.
Bagi kesemua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Asyikin Mokhtar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan mamandangkan kesalahan yang dilakukan serius, menjadi perhatian umum dan menyentuh sensitiviti agama.
“Dalam kes ini kedua-dua mangsa telah lama berkhidmat dengan tertuduh iaitu antara tiga hingga tujuh tahun. Mangsa sewajarnya dilindung dan dilayan secara kemanusian oleh tertuduh. Jadi jumlah yang dicadangkan itu munasabah dengan kesalahan yang dilakukan,” kata Nur Asyikin.
Bagaimanapun peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan tertuduh mempunyai penyakit kanser usus, insomia dan darah tinggi.
“Tertuduh turut menanggung empat anak yang masih bersekolah berusia 15 hingga 19 tahun,” kata peguam itu.
Selepas mempertimbang dan mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Muhamad Fared kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.
Tarikh 2 Jun ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semalam tertuduh dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, atas tujuh pertuduhan iaitu mencederakan, melakukan ugutan menggunakan pistol dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam terhadap pengawal peribadinya, minggu lalu.
Chee Yang kemudin dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 manakala pembantu peribadinya Choo Hin Voon sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. – K! ONLINE