KECINTAAN Claude Sfeir, 59, terhadap jam tangan telah wujud sejak dia kecil lagi apabila neneknya memberikan jam tangan kalkulator jenama Seiko kepadanya.
Bagaimanapun, ketika usianya 18 tahun, ibu bapanya memutuskan untuk menghantarnya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu kerana tempat kelahirannya Beirut, Lubnan pada ketika itu dilanda perang.
Ketika di Dubai, dia bekerja di kedai emas milik bapa saudaranya.
Pelanggan kedai emas kadangkala membawa jam tangan untuk dijual.
“Pada ketika itu kami memperdagangkan semuanya termasuk jam tangan Patek Philippe dan Rolex.
“Kami tidak tahu cara untuk membuka bahagian belakang jam tangan, jadi kami memecahkannya dengan tukul sebelum mengeluarkan bahagian enjin jam dan hanya membayar berat emas yang ada pada jam itu,” jelasnya.
Tambahnya, beberapa tahun kemudian dia menyedari telah memecahkan beberapa jam tangan yang sangat berharga.
Sejak itu, Sfeir mula berminat dengan jam tangan berharga tinggi dan dan kini dia merupakan salah seorang pengumpul jam tangan vintaj mewah di dunia.
Menurutnya, dia mula membeli dan mengumpul jam tangan vintaj sejak hampir 40 tahun lalu.
“Semua orang mengenali saya dan saya tahu semua pembeli yang serius.
“Selama bertahun-tahun, ada yang sudah kehilangan minat, ada yang tidak jujur, ada yang telah berhenti membeli dan ada yang sudah mati. Tapi saya masih sama mempunyai minat terhadap jam tangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sfeir menegaskan, dia bermula dengan kosong dalam mengumpul jam tangan vintaj mewah.
“Saya mula terpikat dengan jam tangan ketika ke Itali, Switzerland dan New York untuk urusan kerja.
“Sebelum itu, kami membeli jam tangan dan mengambil emas untuk dijual tetapi pada masa sama, saya segera memahami nilai jam tangan,” jelasnya.
Tambahnya, ketika itu sekitar tahun 1980-an dia mula membeli jam tangan apabila mempunyai sedikit pengetahuan.
Jam tangan pertama yang dibeli olehnya adalah Rolex dengan rujukan 6694 yang dibeli pada harga AS$80 (RM330). Selain Rolex, jam tangan lain yang dibelinya pada waktu itu, termasuklah Universal, Longines dan Omega.
“Saya menjadi bersemangat pada ketika itu tetapi pada masa sama, saya juga banyak melakukan kesilapan pada awalnya.
“Beberapa rumah lelong tidak begitu jujur pada masa itu, misalnya tidak memberikan nombor siri jam tangan. Pada ketika itu, baru saya faham bahawa tumpuan harus kepada kualiti dan bukan kuantiti,” terangnya.
Tambahnya, dia juga tidak dapat membeli semua jam tangan vintaj yang diinginkannya dan kadangkala terlepas lalu jam itu menjadi milik orang lain.
Misalnya, pada 2004, dia terlepas untuk memiliki Henry Graves Supercomplication iaitu jam tangan poket keluaran Patek Philippe.
Ketika lelongan jam itu dilakukan di Sotheby, Geneva, Switzerland, dia telah membida untuk memiliki jam tersebut.
Sfeir telah memulakan bidaan dengan meletakkan harga sekitar AS$9 juta (RM37 juta).
Pada saat bidaan mencapai nilai AS$12 juta (RM49 juta) hanya dia dan pesainganya iaitu Aurel Bacs yang tinggal.
Namun, akhirnya Sfeir tewas dan jam tersebut telah berjaya dimiliki oleh Bacs pada harga AS$24 juta (RM98 juta).
“Saya sangat kecewa. Saya sangat mahukan Henry Graves Supercomplication.
“Saya akan menjual apa sahaja untuk memilikinya,” jelas Sfeir.
Sfeir masih lagi terlibat dalam perniagaan emas dan berlian tetapi dalam masa sama masih mendapatkan jam-jam tangan yang dimahukannya.
“Setiap tahun, saya mengatakan kepada diri bahawa saya akan berhenti membeli jam, namun kemudiannya saya membeli dengan lebih banyak lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Sfeir amat meminati jam daripada jenama Rolex dan Patek Philippe.
Dia juga memiliki jam prototaip pertama model Nautilus yang terkenal dan direka oleh Gerald Genta pada tahun 1979.
Jam itu merupakan satu-satunya model titanium Sky Moon Tourbillon dan menjadi jam yang paling rumit dikeluarkan oleh Patek Philippe yang mempunyai rujukan unik 50001T.
“Ini adalah jam tangan terpenting abad ke-20,” jelas Sfeir.
Selain itu, dia juga amat menyukai Rolex 1942 kronograf rujukan 4112 yang dibelinya secara peribadi daripada pemiliknya pada akhir tahun 1990-an.
Pada bulan Mei, 2016, jam Rolex dengan rujukan yang sama telah dijual pada harga AS$2.6 (RM10 juta)
“Itu jam tangan yang saya sukai. Rolex hanya mengeluarkan 12 unit untuk rujukan ini dan jam saya adalah yang pertama untuk siri ini,” katanya.
Bagaimanapun, Sfeir adalah seorang yang tidak gemar untuk mendedahkan jumlah dan nilai koleksinya atas faktor keselamatan.
Sementara itu, dia menganggap jam tangan adalah sebahagian daripada kehidupan semua orang dan ia menjadi satu-satunya perkara yang dinikmati oleh lelaki.
Jika orang lain memakai hanya satu jam tangan pada satu-satu masa, ia tidak bagi Sfeir.
“Saya akan memakai dua jam tangan setiap hari.
“Saya memiliki sejumlah besar jam tangan dan saya suka memakai semuanya,” jelasnya.
Dia amat menyukai acara lelongan dan selalu menyalin katalog lelongan daripada syarikat pengendali seperti Antiquorum, Christie’s, Sotheby’s dan Bonhams.
Sfeir juga masih menyimpan salinan katalog itu sebagai cenderahati pada awal-awal penglibatannya dalam menjadi pengumpul jam tangan.
Selain itu, sepanjang mengumpul jam tangan, dia juga pernah berhadapan dengan kenangan pahit apabila ditipu, kehilangan banyak wang dengan membeli jam tangan palsu.
Jadi dia mengambil inisiatif membaca buku-buku pembuatan jam tangan, mengunjungi muzium dan memperluaskan pengetahuannya berkaitan jam.
Dalam pada itu, mempunyai selera yang agak ‘eksotik’ terhadap jam tangan telah mendorong Sfeir turut menghasilkan jam.
Pada 2014, dia telah menjadi rakan kongsi untuk membuka butik menjual jam jenama F.P. Journe milik Francois Paul Journe di Beirut, Lubnan.
Journe yang telah membuat sejumlah jam tangan khusus kepada Sfeir menjelaskan bahawa rakannya itu mempunyai ‘hierarki’ terhadap koleksi jam tangannya.
“Jam tangan keluaran saya berada di kedudukan ketiga dalam hierarki koleksinya di belakang Rolex dan Patek Philippe,” katanya lagi.
Sementara itu, Sfeir juga bukan sekadar pencinta dan pengumpul jam tangan mewah semata-mata, malah dia juga memiliki perwatakan yang murah hati dengan kerja amal.
Dia juga sering menjadi pembida untuk lelongan jam tangan bagi tujuan amal dan turut memiliki jam tangan daripada jenama Milles dan Tudors.
Sfeir juga sanggup membelanjakan sebanyak AS$489,000 (RM2 juta) untuk mendapatkan jam tangan mekanikal yang dibuat sepenuhnya oleh tangan oleh Michel Boulanger.
Michel Boulanger adalah individu yang ditaja oleh Naissance dune Montre, sebuah projek yang diatur oleh pembuat jam tangan utama Philippe Dufour dan jenama Greubel Forsey dalam usaha untuk mengekalkan pembuatan jam tradisional.
“Ini adalah satu pengiktirafan yang penting kerana pengumpul jam tangan terhebat seperti Sfeir mendapatkan jam kami.
“Kemurahan hatinya banyak membantu menyokong pembuatan jam secara bebas,” jelas Dufour yang merupakan pengasas jam berjenama Philippe Dufour.
Dalam pada itu, Sfeir tidak menganggap koleksi jam miliknya adalah sebagai satu bentuk pelaburan walaupun nilainya adalah berjuta-juta.
“Koleksi jam yang saya simpan lebih kepada minat. Ia akan berada bersama saya untuk selama-lamanya.
“Saya akan menyerahkan koleksi ini kepada anak lelaki dan anak perempuan saya kelak.
“Saya tidak akan menjual jam tangan saya untuk menjana wang, terutamanya koleksi vintaj yang dekat di hati saya,” tegasnya.