fbpx

ESL belum berkubur sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DESAKAN para peminat terutama di England menyebabkan enam kelab mereka menarik diri sehingga membawa kepada penundaan saingan ESL. – AFP

MADRID – Presiden Liga Super Eropah (ESL), Florentino Perez menolak dakwaan bahawa beliau sudah berputus asa ekoran penundaan saingan berkenaan selepas enam pasukan dari England membuat keputusan menarik diri.

Menurutnya, mereka yang menganggap ‘projek’ tersebut sudah berkubur telah membuat kesilapan kerana persetujuan melibatkan kesemua 12 pasukan berkenaan dibuat secara undang-undang yang sah melibatkan proses menandatangani kontrak.

“Saya agak sedih dan kecewa. Kami bekerja sejak tiga tahun lalu untuk merealisasikan projek ini terutama dalam perjuangan berdepan situasi kewangan yang teruk dalam bola sepak di Sepanyol.

“ESL adalah satu liga yang baik. Ia mampu mengubah suasana saingan pada pertengahan minggu. Liga Juara-Juara sudah semakin lapuk dan hanya menarik apabila saingan memasuki fasa suku akhir.

“Dalam kalangan 12 pasukan yang bersetuju untuk menyertai ESL, kami berdepan kerugian sehingga €650 juta (RM3.2 bilion) sepanjang musim lalu,” katanya.

Perez turut mendakwa ada pihak yang ‘menaja’ sebahagian kecil penyokong Chelsea yang melakukan protes di Stamford Bridge kelmarin sehingga membawa kepada keputusan penarikan diri enam pasukan dari England.

“Ada pihak di Liga Perdana Inggeris yang tidak berminat dengan cadangan ini. Mereka memulakan kempen mengatakan bahawa ESL akan membunuh liga mereka dan ia adalah satu usa­ha yang sangat teruk,” ujarnya.

Perez turut mengakui terkejut dengan sikap yang ditunjukkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah yang melakukan kritikan keras.

“Mereka mengejutkan kami. Ia seperti kami telah melakukan kesalahan menggugurkan bom nuklear. Apa silap yang kami lakukan? Mungkin kerana cara kami menyampaikannya tidak tepat tetapi mereka boleh datang dan berbincang,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI