LONDON – Juara dunia tujuh kali MotoGP, Valentino Rossi memberi amaran bahawa anak didiknya, Francesco Bagnaia bakal menjadi ancaman kepada perebutan gelaran dunia musim ini.
Tahun ini, Rossi bersaing bersama anak didiknya dari Akademi VR4 iaitu Franco Morbidelli, Luca Marini dan paling menonjol adalah ‘Pecco’ Bagnaia yang kini berada di kedudukan kedua dalam carta kedudukan pelumba.
Rossi yang meletakkan harapan tinggi ketika menyarung sut pasukan satelit Yamaha, Petronas SRT pada perlumbaan tahun ini hanya mampu meraih empat mata selepas mengharungi tiga perlumbaan setakat ini.
Walaupun jauh ketinggalan, Rossi masih berpuas hati menyaksikan perkembangan Bagnaia dan menegaskan pelumba lain perlu waspada dengan anak didiknya itu dalam saingan MotoGP musim ini.
“Banyak orang belum sedar dengan potensi Pecco. Dia sangat berbakat, malah dapat memberikan aksi terbaik kali ini. Dia juga selesa bersama jentera dan pasukan itu.
“Ducati meletakkan kepercayaan kepadanya. Itu adalah kombinasi yang penting untuk dia menempa kejayaan. Pada sesi kelayakan Sabtu lalu, dia mampu memulakan saingan di barisan hadapan tetapi sayang catatan itu dibatalkan kerana bendera kuning.
“Pecco terpaksa memulakan perlumbaan di kedudukan ke-11, kalau tidak dia mampu bersaing dengan Fabio Quartararo yang menjuarai perlumbaan tersebut. Saya akui dia kuat dan mempunyai jentera yang berdaya saing. Anda harus waspada dengan kelibatnya musim ini,” katanya.
Rossi yang meraih 115 kemenangan Grand Prix juga memuji prestasi rakan sepasukannya, Morbidelli dan dia yakin dua pelumba muda tersebut mampu bersaing dalam perebutan gelaran musim ini.
“Kita semua sudah tahu prestasi Morbidelli pada tahun lalu dan dia juga mempamerkan tunganggan yang baik minggu lalu. Kedua-dua pelumba ini mampu menjuarai perlumbaan dan berada di podium untuk memburu gelaran dunia 2021,” tambahnya. – AGENSI