fbpx

Malaysia dukung prinsip kebebasan media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin

PUTRAJAYA – Penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 adalah khusus bagi menangani maklumat tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat dalam memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat dijaga.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, usaha mencegah penyebaran maklumat palsu bukan bermakna menyekat kebebasan media walaupun Malaysia jatuh 18 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 berbanding tahun lepas.

Beliau berkata, pendirian kerajaan juga telah dinyatakan dengan jelas dan mengiktiraf peranan penting para pengamal media dalam menjalankan fungsi dan menunaikan tanggungjawab mereka.

“Ketika kita sedang berjuang menghentikan pandemik Covid-19, kerajaan di serata dunia juga berhadapan dengan cabaran menangani penyebaran maklumat palsu dan memastikan berita serta informasi yang sahih dan tepat disalurkan kepada rakyat.

“Perkara ini amat penting terutamanya bagi usaha menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan sejagat dalam krisis kesihatan yang melanda ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (Reporters Sans Frontiéres, RSF) pada 17 April 2021, di mana Malaysia mencatat kedudukan ke-119.

Laporan itu menyebut bahawa penurunan tersebut didorong oleh pembentukan kerajaan gabungan Perikatan Nasional pada Mac tahun lepas.

RSF memaklumkan bahawa, kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan langkah-langkah untuk menyekat berita palsu yang menurut RSF, dijadikan sebagai mekanisme kerajaan ‘melaksanakan’ kebenaran versi mereka sendiri.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa jua pandangan serta maklum balas demi kebaikan yang mengutamakan rakyat.

“Saya memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada pihak media untuk melaporkan berita selari dengan peruntukan yang sedia ada di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI