RAGBI Asia membuat keputusan untuk membatalkan semua kejohanan di Asia untuk kalendar tahun 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember depan.
Keputusan itu diputuskan selepas perbincangan komprehensif antara Jawatankuasa Pertandingan, Jawatankuasa Kebajikan dan Perubatan Pemain serta pemegang-pemegang taruh selari dengan garis panduan ditetapkan Ragbi Dunia.
Badan induk sukan ragbi di Asia itu terpaksa membatalkan semua kejohanan disebabkan isu penularan wabak Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda pengurangan kes setakat ini.
Presiden Ragbi Asia, Qais Al Dhalai mengakui, keputusan itu terpaksa dilakukan bagi memastikan komuniti ragbi di Asia tidak terdedah kepada penularan wabak berkenaan.
“Keputusan kami berdasarkan maklum balas daripada Jawatankuasa Pertandingan dan Kumpulan Pekerja Covid-19 mengenai waktu sesuai untuk sukan ragbi kembali dipertandingkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Ragbi Asia, Asanga Seneviratne menjelaskan, pihaknya akan kembali menumpukan fokus mereka mengenai format pertandingan dan aktiviti untuk tahun depan.
“Ragbi Asia juga akan terus bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk memantau perkembangan situasi semasa Covid-19,” jelasnya.
Tujuh kejohanan dalam jadual pertandingan Ragbi Asia dari Oktober hingga Disember tahun ini terpaksa dibatalkan antaranya Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 2. – K! ONLINE