ALOR GAJAH – Polis menahan dua pengawal keselamatan selepas dipercayai telah menyimpan tiga laras ‘pump gun’ di tempat yang tidak diwartakan di Hospital Alor Gajah.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, hasil pemantauan, pasukan tersebut telah membuat pemeriksaan di ruang memunggah barang hospital dan menjumpai tiga laras ‘pump gun’ milik syarikat keselamatan berkenaan.
“Syarikat keselamatan berdaftar itu didapati telah melanggar syarat lesen di mana tiga laras senjata api telah disimpan di tempat yang tidak diwartakan.
“Susulan itu, kita telah menahan dua pengawal keselamatan untuk membantu siasatan,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam pemeriksaan itu pihaknya merampas ketiga-tiga senjata tersebut, 30 butir peluru 12 bore, sebuah van syarikat keselamatan, tiga sarung senjata warna hitam dan tiga kotak peluru.
Katanya, kes disiast di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.-K! ONLINE